Sifat Mendengar dan Melihat


 

  1. Dan erti Mendengar dan Melihat [sebagai sifat-sifat Allah itu] ialah bahawa ia dua sifat yang azali, dengan keduanya itu sunyilah Allah daripada pekak dan buta dan kekurangan-kekurangan yang menghalang daripada mendengar apa-apa yang boleh didengar dan [melihat] apa yang boleh dilihat; maka Sifat Mendengar dan MelihatNya itu

 

 

 

adalah berkenaan dengan semua yang boleh didengar dan semua yang boleh dilihat [ertinya Ia boleh mendengar semua perkara yang didengar dan melihat segala yang boleh dilihat tanpa apa-apa halangan, tanpa apa-apa sifat kekurangan].

 

Advertisements

Sifat Iradah/Iradat

Erti Iradah itu ialah bahawa ia sifat yang satu, azali, yang dengannya [yakni dengan Sifat Iradah itu] maka jauhlah [atau sunyilah] Tuhan daripada kekurangan-kekurangan yang menghalangnya [daripada kesempurnaan] dengan Sifat Iradah itu, seperti syahwat keinginan [yang mengganggu IradahNya], kelupaan, dan lainnya daripada perkara yang mustahil berhimpun iradah dengannya, yang bersangkut dengan semua perkara-perkara yang dikehendaki dan dikhaskan dengan waktu-waktunya.

[Ertinya IradahNya itu Iradah yang sempurna, tanpa apa-apa kekurangan, tanpa nafsu syahwat yang menggangu, tanpa lupa dan lalai, pendeknya semua sifat-sifat kekurangan tidak ada menyentuh IradahNya yang sempurna itu, apa yang Dia kehendaki jadi, apa yang Ia tidak kehendaki, tidak menjadi, dan terjadinya sesuatu mengikut IradahNya, pada waktu yang dikehendakinya]

Erti Sifat Hayat dan Sifat Ilmu dan Qudrat Allah

Dan ketahuilah bahawa erti Hayat itu ialah sifat yang satu yang azali yang dengannya maka jauhlah Ia [atau sunyilah Ia] daripada [ciri-ciri] perkara-perkara yang mati, bukannya [hidupNya itu] dengan roh, dan bukannya hidupNya itu berhajatkan kepada yang lain daripadaNya seperti [memerlukan kepada] makanan, nafas, dan bukannya menyerupai hidup makhluk; dan makna IlmuNya itu ialah bahawa ia sifat yang azali yang terpisah daripada erti-erti yang bercanggahan dengan ilmu; yang dengannya [Sifat Ilmu itu] Ia mengetahui semua maklumat-maklumat secara menyeluruh dan satu persatu tentang apa yang telah, sedang dan akan ada serta apa yang tidak akan ada dan bagaimana akan adanya.

Dan erti Qudrat itu ialah bahawa ia sifat yang azali yang satu yang [kerananya maka] jauhlah [atau sunyilah] Ia daripada sifat lemah yang berkaitan dengan sifat-sifat makhluk yang baharu dengan cara yang sedemikian rupa sehingga tidak ada makhluk yang baharu ini melainkan dengannya [yakni dengan sifat QudratNya itu adanya sekalian yang baharu; dengan itulah maka adanya alam ini].

 

Sifat-sifat Allah Yang Qadim Tidak Membawa Kepada Kesyirikan Dengan Qadimnya Sifat-sifat Itu

 

Kalau dikatakan: Bahawasanya Tuhan yang menjadikan alam itu ada lapan sifat semuanya qadim [sebagai kunci mengenaliNya, walhal sifat-sifat kesempurnaannya tidak terkira], maka anda mengisbatkan berserta Allah lapan perkara qadim, maka yang demikian itu mensabitkan persyarikatan dalam perkara qidam [atau kesyirikan dalam perkara qadim].

Maka hendaklah dijawab: Itu tidak membawa kepada maksud demikian, kerana perkongsian dalam segi qidam demikian itu tidaklah membawa kepada maksud keserupaan dalam semua sifat-sifat sebagaimana yang kami terangkan sebelum ini; dan [yang demikian itu juga] kerana persyarikatan dalam perkara qidam itu kalau ia memestikan berlaku keserupaan maka mesti berlaku persyarikatan dalam perkara baharu maka mesti ia membawa kepada maksud jauhar-jauhar dan jisim-jisim seperti ‘aradh-‘aradh dan sifat-sifat; maka bila tidak sah apa yang kami katakan, maka tidak sah pula apa yang mereka katakan dan apa yang kami isbatkan tentang sifat-sifat Tuhan yang menjadikan ia semua itu sifat-sifat yang ada berserta dengan ZatNya; maka ia [yakni Tuhan dengan ZatNya dan Sifat-SifatNya] bukannya menjadi misalnya seperti sifat-sifat kita yang ada dalam zat-zat kita ini, yang tidak seperti kita sebagai misal-misal seperti zat-zat kita.

Hendaklah ini difahami. [Maka tidak timbul syirik sifat-sifat itu dengan Zat Allah, kerana sifat-sifatNya tidak bercerai dengan ZatNya. Maka kemusykilan syirik itu tertolak].

Menafikan Apa Yang Diisbatkan Untuk DiriNya

Bahawasanya mustahil ada Qudrat, Ilmu, dan lainnya, daripada sifat-sifat walhal tidak ada Yang Berkuasa, Yang mengetahui, [Yang Mendengar, Yang Melihat dan seterusnya]; demikian pula mustahil adanya yang mengetahui, yang berkuasa, walhal tidak ada qudrat dan ilmu, kerana taalukan tiap-tiap satu daripadanya adalah seperti taalukan rakannya.

Firman Allah taala:

أنزله بعلمه

“Ia menurunkan [Qur’an itu] dengan IlmuNya”[1]

Dan firmanNya lagi:

وما تحمل من أنثى ولا تضع الا بعلمه

“Dan wanita itu tidaklah mengandung dari [kalangan] wanita itu dan tidak pula ia melahirkan [anaknya] melainkan dengan IlmuNya”.[2]

Dan firmanNya:

عنده  علم الساعة

“Dan padaNya ada Ilmu berkenaan dengan Masa Kiamat” [3]

Dan firmanNya:

 ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

“Dia yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kokoh” (Al-Dhariyat: 58)

 

Dan firmanNya:

والسماء بنيناها بأيد

“Dan langit Kami binakannya dengan Kekuasaan”.[5]

Yakni dengan Kekuatan (secara literalnya ‘dengan tangan-tangan’ [yang banyak]); maka Allah mensabitkan bagi diriNya Ilmu, Qudrat, maka wajib kita mensabitkannya bagi DiriNya itu [Sifat-Sifat demikian]. Maka apa yang Ia nafikan bagi DiriNya wajib kita menafikannya pula.

Firman Allah taala:

لم يلد ولم يولد

“Ia tidak melahirkan dan Ia tidak dilahirkan”.[6]

Kerana menafikan apa yang diisbatkan untuk DiriNya adalah sama seperti mensabitkan apa yang dinafikan olehNya bagi DiriNya pula. Dan itu mustahil; kalau tidak apa pula perbezaan dan tidak didapati jalan berlainan kepada yang demikian itu.


[1] Al-Nisa’: 165.

[2] Fatiir: 11.

[3] Luqman: 34.

[5] Al-Dhariyat: 47.

[6] Al-Ikhlas: 3.

Selasa Pertama – TIADA Kelas pada 7hb Jun 2011

Mohon maklum bahawa seperti dinyatakan sebelum ini bahawa setiap Selasa pertama TIADA Kelas Pengajian Fiqh Akbar (kerana Usrah bulanan MUAFAKAT).

Bersama Sesuatu Daripada Sifat-sifat

Ketahuilah bahawa Tuhan yang menjadikan alam itu Hidup dengan Sifat Hayat, Berilmu dengan Sifat Ilmu, Berkuasa dengan Sifat Qudrat, Mendengar dengan Sifat mendengar, Melihat dengan Sifat Melihat, Berkata-kata dengan Sifat Berkata-kata, Kekal dengan Sifat Baqa’, dan sifat-sifat ini adalah sifat-sifat yang azali, wujud dengan zatNya, yakni bukan sebagai ’aradh atau sifat seperti sifat yang ada pada benda yang baharu, dan bukan baharu ada.

Ia telah dan terus menerus ada, bersifat dengan sifat-sifat demikian ini, dan tidak ada sesuatu daripada sifat-sifat makhluk yang menyerupaiNya dalam sifat-sifat demikian, sebagaimana zat-zat makhluk tidak menyerupai ZatNya.

Dalil tentang yang demikian itu ialah bahawa tiap-tiap sifat itu sahlah ada zat yang bersifat dengan sifat itu, maka mustahil ada sifat itu tanpa ada zat [yang bersifat dengannya].

Demikian pula mustahil adanya apa yang disifatkan dengan hukum sifat itu walhal sifatnya tidak ada [yakni bendanya ada tetapi sifatnya tidak ada, itu mustahil].

Sifat-sifat Allah Yang Diijmak

Allah wajib bersifat dengan Sifat-Sifat Hayat, mengetahui, berkuasa, berhendak, mendengar, melihat, berkata-kata, kekal

Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan alam itu bersifat dengan sifat Hidup, Mengetahui, Berkuasa, Berkehendak, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Kekal.

Dalil tentangnya ialah bahawa perbuatan-perbuatanNya itu teguh sempurna (muhakkamah), paling teliti penuh kemahiran (al-mutqanah), tersusun atas susunan yang paling sempurna dan lengkap, yang menunjukkan bahawa Ia keadaanNya Berkehendak.

Mustahil atasNya Kecelaan yang menghalang [Nya] daripada sifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata, mustahil atasNya sifat-sifat bisu, tuli, buta, dan diam; [wajib atasnya ada sifat-sifat] yang menunjukkan IaNya hal keadaanNya mendengar, Melihat, Berkata-kata, keadaanNya Sediakala, Kekal, Berterusan wujudNya.

Firman Allah taala (وتوكل على الحي الذى لا يموت ) [yang bermaksud]:

“Dan bertawakallah kepada Tuhan Yang Maha Hidup, yang tidak mati-mati”.[1]

Firman Allah taala (ان الله على كل شيء قدير)[ yang bermaksud]:

“Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.[2]

Dan firmanNya dalam ayat(لقد خلقنا الانسان فى أحسن تقويم) [yang bermaksud]:

“Sesungguhnya Kami jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian”.[3]

Dan firmanNya (فعال لما يريد) [dalam ayat yang bermaksud]:

“Ia melakukan apa yang dikehendakiNya”.[4]


[1] Al-Furqan: 58.

[2] Al-Ahzab: 27; al-Fath: 21.

[3] Al-Tiin: 4.

[4] Al-Buruuj: 16.

Allah Mustahil BagiNya Ada Pasangan dan Anak

Dan kerana makna inilah pula mustahil bagiNya ada isteri dan anak kerana itu tidak boleh berlaku melainkan dengan perhubungan [seperti antara lelaki dan perempuan] dan bersambung dan bercerai, demikianlah pasangan, dan anak pada sifatnya maka itu mustahil bagi Allah.

Maka kalaulah dikatakan Allah berfirman:

(الرحمن على العرش استوى)

[dalam ayat yang bermaksud]:

“Tuhan Yang Rahman beristawa atas Arasy”[1]

maka hendaklah dijawab:

“Sesungguhnya ayat ini termasuk daripada ayat mutasyabihat yang mencengangkan dalam jawapan seperti apa yang sama dengannya bagi orang yang tidak mahu memperdalam ilmu berkenaan dengannya iaitu ia mengambilnya sebagaimana datangnya dan tidak dibahaskan lagi tentangnya serta tidak bercakap-cakap tentangnya kerana tidak aman daripada terjatuh ke dalam syubhat dan keadaan seperti gaung [yang berbahaya] kalaulah [orang yang berkenaan] bukannya orang yang dalam dan tetap teguh dalam ilmunya.

Maka ia wajib beri’tikad bahawa Tuhan yang menjadikan alam itu bersifat dengan sifat yang kami sebutkan itu bahawa Ia tidak dikandung oleh tempat dan tidak berlalu atasnya zaman [ia tidak ada umur], ia suci daripada had batasan, suci daripada kesudahan, maha kaya daripada memerlukan tempat, dan pihak [seperti kiri kanan belakang hadapan] [sebagaimana yang ada dalam ayat (ليس كمثله شئ)yang bermaksud] (tidak ada sesuatu yang menyerupaiNya)[2] dan [dengan itu] ia selamat daripada kebinasaan.

Kerana inilah maka Imam Malik marah kepada orang yang bertanya tentang ayat ini, lalu jawabnya: istiwa’ atau bersemayam itu disebutkan [dalam ayat], kaifiat atau bagaimananya itu tidak diketahui, iman tentangnya wajib, bertanya tentangnya bid’ah.

Kemudian katanya: Kalau ia kembali bertanya maka aku akan menyuruh ia dipukul tengkuknya.

Semoga Allah menjaga kami dan anda semua daripada tashbih [yakni menyamakan antara Tuhan dan makhlukNya].


[1] Taha: 5.

[2] Al-Syuraa: 11

Allah Mustahil Bertempat

Ketahuilah bahawa Tuhan yang mula menjadikan alam ini tidak ada tempat bagiNya.

Dalil tentang perkara itu ialah bahawa Allah taala telah ada walhal tempat tidak ada [pada zaman kadim itu].

Maka Ia menjadikan tempat atau ruang walhal Ia dalam sifatNya yang azali sebagaimana telah adaNya sebelum Ia menjadikan tempat atau ruang itu.

Maka mustahil Ia berubah pada zatNya dan bertukar pada sifatNya; dan [itu juga demikian] kerana Ia tidak bertempat walhal ada bagiNya ‘di bawah’ jadilah penyudah bagi zat yang terhad, walhal keadaan terhad atau terbatas itu sifat makhluk.

Maka maha suci atau maha tinggilah Allah daripada yang demikian itu.