Tuhan MelihatNya Sendiri Dan Mu’minin melihatNya Dalam Syurga

Dan ketahuilah bahawa Allah subhanahu wa taala melihat DiriNya sendiri terus menerus tanpa henti-hentinya tanpa bersambung dengan cahaya dan tanpa berhadapan dan harus bagi makhlukNya melihatnya secara akal kerana Ia maujud dan tiap-tiap yang maujud lebih sah ia boleh dilihat; bahkan wajib orang-orang yang beriman melihatNya pada Hari Kiamat melalui jalan khabar [melalui riwayat dalam Qur’an dan hadith] dengan pandangan mata kepala mereka dan orang-orang kafir tidak [melihatNya].

Maka sesungguhnya harus (yakni mungkin) Ia diketahui melalui akal dan yang wajibnya ialah Ia tidak diketahui melainkan melalui khabar [dalam Qur’an dan Sunnah][1].

Dan sesiapa yang melihatNya dari kalangan mu’minin dari makhlukNya maka ia melihat itu berlainan daripada perkara-perkara [lain] yang dilihat dan perkara-perkara [lain] yang diketahui[2]. Dan dalil [tentang yang demikian] ialah firmanNya (وجوه  يومئذ ناضرة الى  ربها ناظرة) [yang bermaksud]: “Pada hari itu muka [orang-orang mu’min] berseri-seri kepada Tuhannya mereka melihat”.[3]

Dan memandang itu bersekali dengan sebutan tentang ‘Wajah’ selepas daripada huruf al-jar [الى] yang dari segi bahasa tidak boleh dimaksudkan melainkan dengan erti melihat secara pandangan dengan mata; dan firman Tuhan (رب أرنى أنظر اليك) yang memberi khabar tentang nabi Musa [dalam ayat yang bermaksud]: “Tuhan, berikan hamba melihat kepada Engkau”[4] maka kalaulah memandang kepadaNya itu mustahil tentulah nabi pilihanNya dan Rasul yang ditujukan KalamNya itu tidak akan meminta kepadaNya kerana itu membawa kepada erti kejahilan Musa terhadap Sifat-Sifat Tuhannya dan ini termasuk perkara yang tidak harus berlaku pada anbiya dengan sepakat ulama[5]; [ini juga begitu hukumnya] kerana apa yang mustahil dalam hubungan dengan memandang kepada sesuatu yang maujud mustahil pula dalam hubungan dengan taaluk ilmu tentang yang maujud seperti tidak ada, yakni apa yang mustahil dipandang dalam ia maujud mustahil ia diketahui dalam ia maujud; dan Tuhan Yang menjadikan diketahui maujud seperti maujud-maujud yang lain, dan kerana Tuhan yang menjadikan itu sah ia boleh dilihat dengan ittifak [ulama] walhal kita bukannya dalam berhadapan denganNya maka sah kita melihatNya walhal Ia bukan berhadapan dengan kita.

[Dalam syarahnya berkenaan dengan hal ini Syeikh Yasin rh menulis ‘Antaranya (yakni ayat-ayat berkenaan dengan memandang kepada Allah) ialah firmanNya (لا تدركه الابصار وهو يدرك الابصار وهو اللطيف الخبير) ) yang bermaksud ‘Dia tidak dapat dicapai oleh pandangan mata, sedang Dia dapat melihat segala yang kelihatan dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui dengan mendalam’ (al-An’aam: 103); maka terang nyata bahawa semua pandangan mata tidak dapat mencapaiNya; yang boleh difaham daripadanya ialah setengahnya dapat mencapainya. Allah telah menerangkan bahawa ada pihak yang mencapaiNya dan ada pihak yang tidak dapat mencapainya. Allah berfirman (وجوه يومئذ ناضرة الى ربها ناظرة ) ) [yang bermaksud: Pada hari itu muka-muka [orang-orang mukminin] berseri-seri, melihat kepada Tuhannya’, sesungguhnya wajah-wajah yang berkerut suram tersekat daripada memandang kepada Tuhan sebagaimana yang dibezakan antara dua golongan manusia dalam firmanNya (يوم تبيض  وجوه وتسود وجوه) (ali ’Imran: 106) [yang bermaksud]: Pada hari itu setengah wajah kelihatan putih dan setengahnya hitam’. Maka wajah-wajah yang hitam itu terhalang [daripada melihat]Nya, dan wajah-wajah yang putih bergemilang bercahaya melihat kepadaNya. Kemudian Nabi salla’Llahu ’alaihi wa sallam mengkhususkan kepada para sahabatnya perkara khas ini dan sabdanya [maksudnya]: Sesungguhnya kamu akan melihat Tuhan kamu pada hari Kiamat sebagaimana kamu melihat kepada bulan malam purnama …’ riwayat al-Bukhari dan lainnya. ][6]


[1] Yakni wajib kita mengetahui Tuhan melalui dalil Qur’an dan Sunnah.

[2] Yakni Tuhan yang dilihat itu lain daripada perkara-perkara lain yang dilihat; demikian pula Ia diketahui  walhal Ia berlainan daripada perkara-perkara lain yang diketahui. Ini kerana Ia menyalahi atau berlainan daripada sekalian makhluk.

[3] Al-Qiyamah: 22-23.

[4] Al-A’raaf: 143.

[5] Yakni tidak mungkin seorang nabi jahil; maka bila Musa alaihissalam sebagai nabi memohon perkara itu maka itu menunjukkan ia mungkin berlaku. Hanya melihat Tuhan bagi orang mukminin berlaku dalam akhirat di Syurga.  Ringkasnya orang-orang yang beriman melihat Tuhan dengan mata kepala mereka dalam Syurga di akhirat nanti. Allahumma amin.

[6] Al-Kaukab al-Azhar hal.81.

No comments yet

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: