Sifat Berkata-kata dan Sifat Baqa

Dan erti Sifat Berkata-kataNya itu ialah sifat yang satu, azali, dengannya maka sunyi Ia daripada bisu dan senyap tanpa kata-kata dan [juga sunyi Ia daripada] kekurangan-kekurangan yang menghalang berkata-kata. [Syeikh Dr Muhammad Yasin rh memberi huraian berkenaan dengan Sifat Berkata-kata itu dengan kata-katanya: ‘Ketahuilah – mudah-mudahan Allah memberi hidayat kepada anda – bahawa Kalam Tuhan itu bukan berhuruf dan bersuara, kerana huruf dan suara itu mengandungi harus ada dahulu dan kemudian [dalam berkata-kata dengan huruf dan suara itu], dan itu mustahil pada Tuhan Yang Qadim – Maha Tinggilah Ia – dan apa yang ditunjukkan daripada Kitabullah yang berkaitan dengan Sifat Kalam Tuhan tidak ada akhir baginya, dan KalamNya itu tanpa huruf dan tanpa suara, kerana wajib jauhlah sifatNya daripada berhuruf dan bersuara’[1]]

Dan erti sifat Baqa pula ialah bahawa ia sifat yang satu, azali, yang dengannya maka sunyi Ia daripada apa yang tidak baqa kerana sifat azali dan qadim itu tidak lagi ada fana dan ketiadaan wujud selepas daripadanya; dan dalil tentang tauhid sifat-sifatNya itu ialah kalaulah ada dari tiap-tiap jenis [sifat Tuhan itu] lebih daripada satu [katakanlah ada dua qudrat, dua atau tiga iradat dan seterusnya] maka itu membawa kepada pengkhususan [penentuan mana-mana satu antara yang banyak itu] dan itu menjadi dalil bagi makhluk yang baharu pula, dan tidak selamatlah orang yang berpendapat begitu daripada saling bercanggahan [dalam pendiriannya yang berlawanan dengan mantik itu] kerana setengah daripada yang berlawanan itu tidak lebih utama daripada yang lainnya. [Dengan itu maka mustahil banyak sifat dalam mana-mana jenis sifat Tuhan dan sabit atau tetaplah tauhid bagi sifat-sifat Tuhan itu].

(Fasal). Dan ketahuilah bahawa Sifat Berkata-kata Tuhan yang menjadikan alam itu ialah bahawa itu sifat yang qadim dan azali yang wujud berserta dengan ZatNya, dan itu bukan makhluk, bukan baharu ada, dan sesiapa yang mengatakan ia makhluk ia kafir tidak boleh tidak lagi. KalamNya atau Berkata-KataNya itu termaktub dalam mushaf-mushaf kita, dihafal dalam kalbu kita, dibaca oleh lidah kita, dibaca dalam majlis-majlis kita, didengar dengan telinga kita, walhal ia bukan tulisan [itu], bukan hafalan, bukan bacaan, bukan tilawat itu. Bukan pendengaran itu, kerana itu semua baharu ada, daripada tidak ada, walhal Kalam Tuhan qadim.

Sebagaimana Tuhan yang menjadikan alam itu [qadim, walhal KalamNya] tertulis dalam kitab-kitab kita, termaklum dalam hati kita, disebut pada lidah kita [seperti dalam zikir dan lainnya], walhal zat Tuhan Yang menjadikan alam itu sendiri bukan tulisannya, dan zikir itu. [Ringkasnya Quran yang ditulis dalam bahasa Arab itu, dihafal dan dibaca itu menunjukkan kepada Kalam Tuhan yang qadim dan azali; sebab itu tidak boleh dikatakan Quran itu makhluk, sebab ia daripada Kalam Tuhan].

Dan dalil tentang kalamNya itu qadim ialah firmanNya:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

“hanyasanya perintahNya itu ialah bila Ia mahu mengadakan sesuatu Ia berkata [kepadanya] jadilah [kamu] maka jadilah [benda itu]”.[2]

Maka Tuhan mensabitkan bahawa makhluk itu ditujukan kata kepadanya ‘kun’ maka kalaulah itu makhluk, maka jadilah kata kepadanya itu ‘kun’; dan itu jadi membawa kepada bersambung tiap-tiap kata dengan kata yang lain sampai kepada tiada kesudahan dan itu membawa kepada terbatal kata itu.

Maka bila yang demikian itu terbatal wajiblah hal keadaan kata Allah itu azali bukan makhluk, bukan baharu ada[3]. Dan [yang demikian itu juga begitu] kerana yang hidup yang tidak sah atasnya percakapan tidak sah pula ia sunyi daripada kekurangan-kekurangan yang mencegah daripada percakapan seperti seorang daripada kita. Dan Tuhan Yang menjadikan alam ini subhanahu wa taala Maha Hidup sah bahawa Ia berkata-kata dan kecacacatan-kecacatan yang mencegah daripada percakapan mustahil atasnya; maka sabitlah bahawa Ia terus menerus dalam Berkata-kata dan KalamNya itu Qadim.


[1] ‘Al-Kaukab al-Azhar’, hal.76. Kalau hendak diperhatikan lagi sifat ini, mungkin boleh disebut bahawa memang bahawa Kalam Ilahi tidak berhuruf dan bersuara kerana ia mesti menyalahi kalam makhluk. Maka bila ia diturunkan ke alam dunia ini untuk umat manusia, ia turun dalam ‘acuan’ bahasa Arab  untuk difahami oleh manusia yang beriman. Dengan ia diturunkan ke alam dunia ia dimasukkan ke dalam ‘acuan’ bahasa Arab; bila dibaca dan ditulis serta dihafal maka terdengarlah bunyi lafaz-lafaznya dan terlihatlah huruf-hurufnya, serta diingatlah bacaannya, kerana ia dalam ‘acuan’ bahasa Arab. Tetapi sifat asalnya sebagai kalam Tuhan tidak seperti kalam manusia tidak berubah; ia sama misalannya seperti air dalam gelas, kelihatan berwarna biru kerana gelas berwarna biru, tetapi hakikat air yang asal tanpa warna itu kekal seperti asalnya. Demikianlah Quran berbahasa Arab itu kelihatan ‘Arabnya’ pada tulisannya dan bunyinya kerana ia dalam ‘acuan’ bahasa Arab itu (yang bagaimanapun menunjukkan kepada kalam Ilahi yang asal tanpa huruf dan suara). Tetapi sifat asalnya kekal tidak berubah sebagai kalam Ilahi; sama seperti air yang tidak berubah walaupun ada dalam gelas itu. Sebab itu ulama menyatakan bahawa walaupun Quran itu ditulis atas Mushaf, dihafal di dada, dibaca oleh lidah manusia, ia adalah Kalam Ilahi yang tidak berhuruf dan bersuara pada sisi Tuhan; itu kekal tidak berubah.

[2] Yaasiin: 82.

[3] Ertinya Kalam Tuhan dan perintahNya bukan makhluk; maksudnya ialah bila Ia kehendaki sesuatu itu berlaku, maka ia berlaku tanpa ada perancangan seperti perancangan makhluk. Ia terus berlaku; dan bukannya Tuhan bercakap ‘Kun’ dalam Bahasa Arab kepada sesuatu itu, maksudnya apa yang ada dalam ilmuNya bila Ia kehendaki terjadi, teruslah perkara itu terjadi, atau teruslah sesuatu itu berlaku dengan tidak ada senggang masa sedikitpun antara kehendakNya dan terjadinya perkara itu.

2 comments so far

  1. […] Sifat Berkata-kata dan Sifat Baqa […]

  2. […] SIFAT BERKATA-KATA DAN SIFAT BAQA […]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: