Archive for Mei 2011|Monthly archive page

Bersama Sesuatu Daripada Sifat-sifat

Ketahuilah bahawa Tuhan yang menjadikan alam itu Hidup dengan Sifat Hayat, Berilmu dengan Sifat Ilmu, Berkuasa dengan Sifat Qudrat, Mendengar dengan Sifat mendengar, Melihat dengan Sifat Melihat, Berkata-kata dengan Sifat Berkata-kata, Kekal dengan Sifat Baqa’, dan sifat-sifat ini adalah sifat-sifat yang azali, wujud dengan zatNya, yakni bukan sebagai ’aradh atau sifat seperti sifat yang ada pada benda yang baharu, dan bukan baharu ada.

Ia telah dan terus menerus ada, bersifat dengan sifat-sifat demikian ini, dan tidak ada sesuatu daripada sifat-sifat makhluk yang menyerupaiNya dalam sifat-sifat demikian, sebagaimana zat-zat makhluk tidak menyerupai ZatNya.

Dalil tentang yang demikian itu ialah bahawa tiap-tiap sifat itu sahlah ada zat yang bersifat dengan sifat itu, maka mustahil ada sifat itu tanpa ada zat [yang bersifat dengannya].

Demikian pula mustahil adanya apa yang disifatkan dengan hukum sifat itu walhal sifatnya tidak ada [yakni bendanya ada tetapi sifatnya tidak ada, itu mustahil].

Sifat-sifat Allah Yang Diijmak

Allah wajib bersifat dengan Sifat-Sifat Hayat, mengetahui, berkuasa, berhendak, mendengar, melihat, berkata-kata, kekal

Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan alam itu bersifat dengan sifat Hidup, Mengetahui, Berkuasa, Berkehendak, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Kekal.

Dalil tentangnya ialah bahawa perbuatan-perbuatanNya itu teguh sempurna (muhakkamah), paling teliti penuh kemahiran (al-mutqanah), tersusun atas susunan yang paling sempurna dan lengkap, yang menunjukkan bahawa Ia keadaanNya Berkehendak.

Mustahil atasNya Kecelaan yang menghalang [Nya] daripada sifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata, mustahil atasNya sifat-sifat bisu, tuli, buta, dan diam; [wajib atasnya ada sifat-sifat] yang menunjukkan IaNya hal keadaanNya mendengar, Melihat, Berkata-kata, keadaanNya Sediakala, Kekal, Berterusan wujudNya.

Firman Allah taala (وتوكل على الحي الذى لا يموت ) [yang bermaksud]:

“Dan bertawakallah kepada Tuhan Yang Maha Hidup, yang tidak mati-mati”.[1]

Firman Allah taala (ان الله على كل شيء قدير)[ yang bermaksud]:

“Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.[2]

Dan firmanNya dalam ayat(لقد خلقنا الانسان فى أحسن تقويم) [yang bermaksud]:

“Sesungguhnya Kami jadikan manusia dalam sebaik-baik kejadian”.[3]

Dan firmanNya (فعال لما يريد) [dalam ayat yang bermaksud]:

“Ia melakukan apa yang dikehendakiNya”.[4]


[1] Al-Furqan: 58.

[2] Al-Ahzab: 27; al-Fath: 21.

[3] Al-Tiin: 4.

[4] Al-Buruuj: 16.

Allah Mustahil BagiNya Ada Pasangan dan Anak

Dan kerana makna inilah pula mustahil bagiNya ada isteri dan anak kerana itu tidak boleh berlaku melainkan dengan perhubungan [seperti antara lelaki dan perempuan] dan bersambung dan bercerai, demikianlah pasangan, dan anak pada sifatnya maka itu mustahil bagi Allah.

Maka kalaulah dikatakan Allah berfirman:

(الرحمن على العرش استوى)

[dalam ayat yang bermaksud]:

“Tuhan Yang Rahman beristawa atas Arasy”[1]

maka hendaklah dijawab:

“Sesungguhnya ayat ini termasuk daripada ayat mutasyabihat yang mencengangkan dalam jawapan seperti apa yang sama dengannya bagi orang yang tidak mahu memperdalam ilmu berkenaan dengannya iaitu ia mengambilnya sebagaimana datangnya dan tidak dibahaskan lagi tentangnya serta tidak bercakap-cakap tentangnya kerana tidak aman daripada terjatuh ke dalam syubhat dan keadaan seperti gaung [yang berbahaya] kalaulah [orang yang berkenaan] bukannya orang yang dalam dan tetap teguh dalam ilmunya.

Maka ia wajib beri’tikad bahawa Tuhan yang menjadikan alam itu bersifat dengan sifat yang kami sebutkan itu bahawa Ia tidak dikandung oleh tempat dan tidak berlalu atasnya zaman [ia tidak ada umur], ia suci daripada had batasan, suci daripada kesudahan, maha kaya daripada memerlukan tempat, dan pihak [seperti kiri kanan belakang hadapan] [sebagaimana yang ada dalam ayat (ليس كمثله شئ)yang bermaksud] (tidak ada sesuatu yang menyerupaiNya)[2] dan [dengan itu] ia selamat daripada kebinasaan.

Kerana inilah maka Imam Malik marah kepada orang yang bertanya tentang ayat ini, lalu jawabnya: istiwa’ atau bersemayam itu disebutkan [dalam ayat], kaifiat atau bagaimananya itu tidak diketahui, iman tentangnya wajib, bertanya tentangnya bid’ah.

Kemudian katanya: Kalau ia kembali bertanya maka aku akan menyuruh ia dipukul tengkuknya.

Semoga Allah menjaga kami dan anda semua daripada tashbih [yakni menyamakan antara Tuhan dan makhlukNya].


[1] Taha: 5.

[2] Al-Syuraa: 11

Allah Mustahil Bertempat

Ketahuilah bahawa Tuhan yang mula menjadikan alam ini tidak ada tempat bagiNya.

Dalil tentang perkara itu ialah bahawa Allah taala telah ada walhal tempat tidak ada [pada zaman kadim itu].

Maka Ia menjadikan tempat atau ruang walhal Ia dalam sifatNya yang azali sebagaimana telah adaNya sebelum Ia menjadikan tempat atau ruang itu.

Maka mustahil Ia berubah pada zatNya dan bertukar pada sifatNya; dan [itu juga demikian] kerana Ia tidak bertempat walhal ada bagiNya ‘di bawah’ jadilah penyudah bagi zat yang terhad, walhal keadaan terhad atau terbatas itu sifat makhluk.

Maka maha suci atau maha tinggilah Allah daripada yang demikian itu.

Mustahil Atas Allah Warna, Rasa, Bau dan Panas Sejuk

Ketahuilah bahawa Allah taala mustahil atasnya warna, penciptaan/kejadian [seperti makhluk], kecapan rasa, dan bau, panas, sejuk, dan yang sepertinya, kerana ini semua sifat-sifat makhluk yang baharu.

Tanda-tanda penciptaan dan yang disifatkan itu dengan suatu daripadanya itu berserta dengan harus sifat lain daripadanya maka ia tidak terkhusus dengan yang demikian melainkan dengan adanya yang mengkhususkannya.

Itulah yang menjadikannya dan menciptanya, walhal itu sifat makhluk yang baharu.

Demikianlah hukum mustahil [atas Allah] itu rasa lazat, sakit, dan sifat-sifat yang lain lagi yang terkhusus ianya bagi makhluk.

Firman Allah azza wa jalla

(هل تعلم له سميا؟)

[dalam ayat yang bermaksud]:[1]

“Adakah kamu mengetahui seorang yang sama dengan dia?”.


[1] Maaryam: 65.

Gambaran Bentuk Rupa Adalah Mustahil Atas Allah

Ketahuilah bahawa gambaran bentuk rupa dan sifat tersusun mustahil atas Allah taala dengan makna yang kami sebutkan pada jisim.

Itu kerana yang mempunyai bentuk rupa itu tidak terkhusus dengan satu bentuk rupa tidak bentuk rupa lain melainkan dengan penentu bentuk rupa yang khusus yang si pembuatnya dan si penciptanya.

Sesiapa yang ada bentuk rupa juga ia makhluk, dan tidak ada kemusykilan lagi padanya, dan kerana rupa bentuk itu tidak menyerupai pembentuk rupa bentuk itu.

Walhal Allah adalah Pembentuk rupa bentuk dan ‘bentuk rupa’Nya tidak menyamaiNya oleh sesuatupun.

Firman Allah:

الخالق البارئ المصور

yang bermaksud]

Maha Pencipta Yang Awal Mula Menjadikan, Pembentuk rupa [sekalian makhlukNya]”.[1]


[1] Al-Hashr: 24.

Allah Mustahil AtasNya Sifat-sifat Jisim

Dan yang tahkik [dalam erti yang sebenar-benarnya berkenaan dengan perbahasan ini] ialah bahawa gambaran sifat bila ia berhak amat bersangatan sifatnya itu dengan penambahan maknanya, maka berhaklah ia sebagai asal gambaran sifat, kerana sebab itu, seperti sifat panjang (tawiil), atwalu (lebih panjang), dan ‘alim (mengetahui) dan a’lamu (lebih mengetahui) dan yang sepertinya.

Sesungguhnya Allah taala memberi peringatan kepada kita tentang makna ini dalam firmanNya:

(وزاده بسطة فى العلم والجسم)

[yang bermaksud]:

“Dan Allah mengurniakan kepadanya ilmu yang luas dan tubuh badan yang perkasa”.[1]

Ertinya pada segi kebesaran tubuh badan dirinya walhal Allah taala yang menjadikan alam ini tidak mempunyai juzuk-juzuk dan bahagian-bahagian [seperti bahagian badan makhluk] bahkan Ia Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana Ia berfirman:

  (قل هو الله أحد)

yang bermaksud]:

“Katakanlah Ia Allah Yang Maha Esa”.[2]

Walhal apa yang terhimpun [daripada beberapa bahagian] dan yang tersusun tidak menjadi satu, dan mustahil Ia itu ‘aradh [atau sifat seperti sifat pada zat benda] kerana ‘aradh itu mustahil padanya sifat baqa’ atau kekal atau sedikit kekalnya itu. Kerana makna demikian ini maka Allah berfirman:

  (تريدون عرض الدنيا)

yang bermaksud]:

“Mereka berkehendak kesenangan dunia ini yang sementara (‘arad al-dunya’)”.[3]

Kerana sedikit sahaja sifat baqa’nya itu walhal Tuhan Yang menjadikan alam ini wajib sifat baqa’ bagiNya kekal berterusan wujudNya, mustahil tiada. Allah berfirman:

 (كل من عليها فان ويبقى وجه ربك ذوالجلال والاكرام)

yang maksudnya]

“Tiap-tiap sesuatu di atasnya binasa, walhal Wajah Tuhan kamu kekal, Tuhan yang memiliki Kehebatan dan Kemuliaan”.[4]


[1] Al-Baqarah: 247.

[2] Surah al-Ikhlas: 1.

[3] Al-Anfaal: 67.

[4] Al-Rahman: 27.

Tuhan Mustahil Jisim

Mustahil juga bahawa Ia itu jisim[1] kerana jisim itu adalah himpunan yang tersusun daripada [bahagian-bahagian atau juzuk-juzuk].

Daripada yang demikian terdapat kata-kata ahli bahasa, “ini jisim” dan ini lebih besar jisimnya daripada yang itu; maka mereka memberi gambaran tentangnya dengan cara bersangatan sifatnya bila banyak susunannya dan himpunannya, dan berlakulah perkara demikian itu dalam kata-kata mereka tentang “ ‘alim, ‘aliim, dan lebih ‘alim [daripadanya]” (عالم و عليم, و أعلم) bila bertambah taalukan ilmunya dengan maklumat-maklumat; dan termaklum bahawa yang alim itu pada asalnya ialah alim tentang ilmu, demikian pula kata-kata pendapat berkenaan dengan jisim.


[1] Ini menunjukkan Imam Shafi’i –Allah meredhainya- sangat tajam pengamatannya tentang bahasa dan perkembangan pengetahuan zamannya. Alangkah baiknya contoh tauladan yang kelihatan pada tokoh utama ini.

Tuhan Mustahil ‘Aradh Atau Sifat Jisim

Ketahuilah bahawa Allah taala itu bukan jauhar[1], bukan jisim[2], juga bukan sifat bagi jisim (atau bukan ’aradh)[3].

Dalil tentang yang demikian itu ialah bahawa jauhar itu adalah asal kejadian segala sesuatu [dari segi alam benda mengikut teori fizik zamannya[4]], dan ia yang tersusun daripadanya itu jisim dan daripada itu timbul kata-kata ‘pakaian jauhari’ bila pakaian itu asli.

Dan Tuhan Yang Mula menjadikan alam mustahil daripada menjadi tersusun daripadanya sesuatu, sehingga jadilah jauhar sekarang jauhar-jauhar [pula], Ia sunyi daripada [bersifat seperti] sekalian makhluk, gerak, diam, warna-warna, rasa, bau, dan yang lain daripada itu.

Dan Ia Qadim, sediakala, maha sucilah Ia daripada perkara-perkara baharu, maka nyatalah bahawa Ia bukan jauhar [dan yang lain-lain yang disebut sebagai benda yang dijadikan daripada alam ini].


[1] Penggunaan ‘jauhar’ dan ‘aradh’ oleh Imam ini berlaku – Allah meredhainya – kerana pada zaman itu sudah timbul penggunaan istilah-istilah itu; maka sebagai imam dalam ilmu dalam berbicara tentang hakikat ketuhanan, ia tidak boleh mengelak, bahkan nampaknya terpaksa menggunaakannya untuk menolak sangkaan yang mungkin timbul bahawa Allah menyerupai makhluk dari segi Ianya jauhar atau aradh (bahasa Inggerisnya ‘substance’ and ‘accidents’), dengan implikasi-implikasinya; kalau sekarang mungkin kita katakan bahawa Allah bukan ‘zarah’, bukan ‘sub-zarah’, bukan ‘quarks’ bukan ‘gelombang’ (waves), bukan ‘meson’, bukan ‘baryon’ (kalau diperlukan dalam perbincangan) sebab adanya teori yang menyebutkan bahawa segala yang ada ini walaupun kelihatan sebagai ‘pejal’, boleh diukur, disukat, dan seterusnya, sebenarnya pada paras sub-zarah (sub atomic level) ia ‘gelombang’ atau ‘zarah’, tidak menentu, kadang-kadang sebagai zarah kadang-kadang sebagai gelombang. Lihat ‘The Tao of Physics’ oleh Fritjof Capra, Flamingo books, Fontana Paperbacks, 10th impression, London, 1985, hal.150. Maka di sisi ahli pengetahuan timbul keperluan kepada pembicaraan sedemikian itu.

[2] Bila Ia tidak jisim maka tidak ada padanya sifat-sifat jisim seperti bertempat, memerlukan masa, berpihak (atas bawah belakang hadapan kiri kanan), demikian seterusnya; dengan itu tidak timbul konsepsi ‘duduk’ atas ‘Arasy, ‘turun’ ke langit dunia, dan lain-lain konsep yang berlawanan dengan itu dari kalangan golongan mujassimah dan musyabbihah, ertinya golongan yang memahami Allah seperti Ia berjisim, atau Ia menyerupai makhluk dalam apa segi sekalipun.

[3] Lihat bagaimana Imam Syafi’i menggunakan istilah jisim dan ‘aradh yang pada zamannya ada dalam perbincangan ilmiah. Banding pula dengan kita sekarang.

[4] Sekarang dalam teori quantum asal semuanya gelombang atau zarah itu. Dalam laman web terhubung dengan universiti Princeton disebutkan: ‘quark’ (dalam ilmu fizik) secara hipotesis partikel yang sebenar dalam ‘mesons’ dan ‘baryons’; di sana dianggapkan ada enam ‘rasa’ (flavours) quarks (dan anti-quarks pula), yang datang dalam berpasangan; tiap-tiap satunya ada caj elektrik +2/3 atau -1/3; wordnetweb.princeton.edu/perl/webwn diakses 11-3-11 11.08 pagi. Dan ‘baryons’ and ‘mesons’ pula asalnya nama yang merujuk kepada ‘mass’ (‘berat’) dua jenis partikel. ‘Baryons’ asal dari perkatan Yunani ertinya ‘berat’ termasuk di dalamnya proton dan partikel-partikel yang lebih berat lagi. ‘Mesons’ dari kata Yunani ertinya ‘antara’ ‘antara dua’ adalah partikel-partikel dengan ‘mass’ (atau ‘berat’nya) adalah antara berat elektron dan proton. Sekarang nama ‘baryon’ merujuk kepada mana-mana partikel yang terbina daripada tiga ‘quarks’, seperti proton dan neutron. ‘Mesons’ pula adalah partikel-partikel yang terbina daripada satu quark tergabung dengan satu anti-quark…(dari http://www.britannica.com/EBchecked/topic/54531/baryon diakses 11-3-11 11.12 pagi)

Allah Maha Suci Dari Had Dan Penyudahan

Ketahuilah bahawa had dan penyudahan tidak ada pada Allah taala. Erti had itu ialah hujung penyudah sesuatu benda dan bahagian akhirnya.

Dalil berkenaan dengan perkara ini ialah bahawa Ia yang tidak ada terbatas permulaanNya maka tidak ada keterbatasan ZatNya. Maknanya ialah sesiapa yang tidak ada bagi wujudnya permulaan maka tidak ada bagi zatnya kesudahan. Ini kerana apa yang terbatas itu ada kesudahan [baginya].

Maka sah diwahamkan padanya ada tambahan dan kekurangan; dan boleh didapati [pula apa] yang sepertinya.

Maka [kalau demikian] ada baginya kekhususan jenis dari penyudahan dan pembatasan yang sah ada pula yang lebih besar daripadanya atau lebih kecil, [lagi pula kalau demikian itu] memestikan ada baginya apa yang menjadikannya (mukhassis) yang menjadikannya (atau yang mengkhususkannya) atas had dan kesudahan dan kejadiannya atas kadar [tertentu] dan itu membawa kepada baharunya Allah taala – maha sucilah Ia dengan kesucian yang setinggi-tingginya daripada yang demikian itu.