Fiqh Akbar – Muqaddimah

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah Tuhan sekalian alam, dan salawat dan salam dariNya untuk penghulu kita Muhammad dan ahli keluarganya.[1]

Kata al-Sayyid al-Imam Abu ’Abdi’Llah Muhammad bin Idris al-Syafi’i radiya’Llahu ‘anhu.[2]

1.                  Ini tulisan (kitab) yang kami sebutkan di dalamnya zahir beberapa masalah berkenaan dengan usul-al-din yang wajib dan tidak boleh tidak mesti diketahui oleh mukallaf supaya berpegang kepadanya, dan kami namakannya al-Fiqhul-Akbar[3]. Dan kami bentangkannya tidak secara lanjut kerana hendak menghampirkan pemahaman tentangnya kepada pelajar peringkat permulaan. Dan Allah yang memberi taufiq.

2.                  Ketahuilah bahawa – moga-moga Allah membahagiakan anda- sesungguhnya tiap-tiap orang mukallaf diwajibkan mengenal Allah taala (ma’rifah Allah taala), dan erti ma’rifah itu ialah mengetahui yang dimaklumi itu mengikut apa yang sebenarnya (ma’rifatul-ma’lum ’ala ma huwa ’alaihi (معرفة المعلوم على ما هو عليه)) dengan secara tidak tersembunyi atasnya sesuatu daripada sifat-sifat perkara yang dimaklumi itu; [itu erti ma’rifat]. Adapun erti berat sangka atau zan dan taqlid [mengikut tanpa mengetahui dalilnya] itu ialah tidak menghasilkan ilmu dan ma’rifat, kerana erti zan atau berat sangka ialah membolehkan dua perkara [sama ada ya atau tidak] (tajwiz al-amrain) dan yang satu daripada yang dua itu lebih zahir [daripada yang satu lagi itu][4], dan makna taqlid pula ialah menerima pendapat orang yang tidak diketahui [akan dalilnya] apa yang dikatakannya dan dari mana katanya itu [apa dalilnya itu];yang demikian itu tidak menjadi ilmu, dalilnya ialah firman Allah taala:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ

‘Ketahuilah bahawa tiada tuhan melainkan Allah’[5];

maka itu perintah [menyuruh mencapai] ma’rifat, bukan perintah [menyuruh supaya berpada dengan tahu mengikut] berat sangkat [semata] dan taqlid [sahaja][6].


[1] Berdasarkan teks yang diterbitkan oleh al-Matba’ah al-‘Amirah al-Syarqiyyah, Kaherah, 1324, yang diterbitkan bersekali dengan teks ‘l-Fiqhul-Akbar oleh Imam Abu Hanifah rd. Teks Imam Syafi’i adalah dari muka surat 10-38. Ini juga teksnya yang disebutkan oleh artikel dalam EI.hal.253 (yakni Encyclopedia of Islam, terbitan E.J. Brill, 1987 (Leiden-N.York-Kobenhavn-Kolm), hal.253). Dalam Brockelmann, GAL, SupplemantBand I, hal.305 disebutkan teks Kaherah juga. Isi kandungan teks ini didapati sama dengan isi kandungan teks dalam al-Kaukab al-Azhar Sharah al-Fiqh al-Akbar, syarah oleh Dr Syeikh Yasin bekas mufti Mausil, Irak, hal. 7-35. Yang kemudiannya ialah syarahnya oleh Syeikh tersebut dari halaman 36-152. Beliau habis menyelesaikan syarahnya pada 2 Sya’ban 1405 Hijrah/ 23 1985 April 1985.

[2] Bilangan perenggan-perenggan diberikan oleh penterjemah supaya senang dirujuk untuk perbandingan kemudiannya.

[3]Al-Fiqhul-Akbar’ atau ‘Fiqh Besar’ berkenaan dengan usul al-din atau dasar-dasar atau pokok-pokok pembicaraan agama, berbeza daripada ‘al-Fiqhul-Asghar’ atau ‘Fiqh Kecil’ yang membicarakan hukum-hukum cawangan atau ranting dalam agama, berkenaan dengan perkara yang wajib, haram, halal, harus, makruh, sah, batal dan seterusnya. Kitab ini tidak mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada penafsiran ’mujassimah’ atau ’musyabbihah’ yang diragukan penisbahannya kepada Imam Syafi’i. Dr Shaikh Yasin mufti Mausil Iraq ada memberi syarahan tentangnya sebagaimana yang dinyatakan dalam biografi ringkasnya dalam laman web: http://www.odabasham.net/show.php?sid=9119; syarahnya berjudul (الكوكب الأزهر شرح الفقه الأكبر للشافعي) . Sekarang kita bersyukur kepada Allah kerana naskhah syarah kitab itu ada dalam tangan kita kerana ihsan daripada sahabat kita Tuan Syeikh Yusuf dari Makkah.

[4] Ayat ‘satu daripadanya  lebih zahir lagi daripada yang satu lagi itu’ dalam teks Syeikh Yasin, hal.7.

[5] Surah Muhammad:19.

[6] Dalam perkara akidah iman mesti datang daripada ilmu dan ma’rifat bukan hanya mengikut orang lain tanpa mengetahui dalilnya. Adapun dalam perkara fiqh maka orang awam mesti mengikut mujtahid kalau ia sendiri bukan mujtahid yang boleh mengetahui hukum terus daripada Quran dan Sunnah mengikut aturan-aturannya.

2 comments so far

  1. […] Fiqh Akbar – Muqaddimah […]

  2. […] FIQH AKBAR – MUQADDIMAH […]


Tinggalkan komen